PROGRAM JELAJAH UMNO – MERENDAHKAN MARTABAT BEKAS PERAJURIT DEMI POLITIK SEMPIT

Oleh YB Nurul Izzah

Rancangan Pemuda UMNO untuk mengadakan program jelajah yang akan “menyerang” Timbalan Presiden PAS Hj Mohamad Sabu amatlah mendukacitakan dan tidak perlu. Tindakan ini diputuskan walaupun pelbagai pihak menunjukkan Hj Mohamad Sabu tidak pernah mengagungkan golongan Komunis ataupun mempromosi keganasan dalam ucapan beliau 21 Ogos yang lalu.

Apa yang terang lagi bersuluh dalam kontroversi terkini adalah: perbalahan pendapat yang masih belum terhenti mengenai zaman Darurat dan juga zaman-zaman lain dalam sejarah negara membuktikan versi “rasmi” sejarah Malaysia yang diangkat pentadbiran BN belum diterima sepenuhnya semua pihak. Malah ia kelihatan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran dalam masyarakat, dan menyulitkan segala usaha untuk menyatupadukan rakyat.

Kita tidak boleh nafikan kewujudan pendapat berlainan mengenai sejarah Malaysia dan kita juga tidak boleh nafikan pelbagai pihak yang masih belum sembuh luka silamnya. Sebagai parti pemerintah, UMNO seharusnya memudahkan perbincangan isu-isu sebegini demi usaha perdamaian nasional, agar sejarah menjadi batu asas dan bukannya batu api kepada masa depan kita bersama.

Inilah yang sepatutnya menjadi matlamat parti-parti politik, terutama sayap-sayap pemuda. Yang sedihnya, UMNO sekali lagi mengguna peluang yang ada untuk menimbulkan syak wasangka dan rasa benci di kalangan rakyat Malaysia demi masa depan politiknya sendiri.

Walaupun begitu, pasti timbul keraguan di hati pembaca bila melihat pihak ini tiba-tiba begitu beria-ia mahu perjuangkan nasib bekas perajurit. Nampaknya Pemuda UMNO tidak mahu menumpukan usaha mereka untuk betul-betul membantu bekas perajurit dan mereka yang masih berkhidmat, tapi sebenarnya hanya berminat untuk mencerca PAS dan Hj Mohamad Sabu.

Sememangnya, jika UMNO benar-benar mahu perjuangkan nasib para perajurit negara, mereka akan perjuangkan hak para perajurit untuk mengundi dengan bebas dan adil dan bukannya mempertahan sistem undian pos yang sedia ada yang menganiaya hak mengundi para tentera dan polis.[1]

Lebih dari itu, bukanlah lebih baik jika UMNO menyalurkan masa, wang ringgit dan tenaga mereka untuk membantu bekas perajurit Malaysia yang memerlukan bantuan, dan bukannya untuk menjalankan program-program jelajah sebegini? Bukankah Utusan Malaysia, akhbar alat sebaran mereka, sudah cukup untuk mencerca PAS, Hj Mohamad Sabu dan Pakatan Rakyat amnya?

Kita juga terfikir mengapa para “patriot” ini menganggap siri jelajah sebegini lebih membawa manfaat dan kebaikan dari menyokong, mengawas, dan memberi maklum balas kepada badan kebajikan para perajurit seperti Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) dan badan-badan seperti itu? Jika mereka bekerjasama dengan badan-badan ini – untuk perjuangkan pembelian aset-aset Exxonmobil, sebagai contoh – pasti pejuang dan perajurit negara akan menikmati kebaikan dan keuntungan, dan kepentingan negara akan terjaga lagi terselamat.

Akhir sekali, jika UMNO begitu serius untuk perjuangkan nasib bekas perajurit yang telah berjuang demi tanah air tercinta, bukankah mereka sepatutnya membantu bekas perajurit yang telah berjuang sewaktu Perang Dunia Kedua, yang mana ada di antara mereka yang masih belum menerima pampasan atau bantuan di atas perjuangan mereka? [2]

Oleh kerana UMNO berkata ia lah satu-satunya pengasas gerakan kemerdekaan negara kita, UMNO wajib sedar bahawa ia telah mempersendakan prinsip-prinsip asas negara kerana kerajaan pimpinannya masih memperguna empat perisytiharan darurat yang masih wujud, walaupun sudah 54 tahun kita merdeka. Apakah negara kita masih belum aman damai hingga empat perisytiharan darurat ini masih diperlukan?

Malah bukankah ini menunjukkan UMNO secara tidak langsung merendahkan martabat para perajurit yang kita kasihi dan memperlekehkan perjuangan mereka selama ini, kerana kononnya negara masih belum selamat dan masih memerlukan empat perisytiharan darurat ini? Atau adakah UMNO yang sebenarnya memerlukan empat perisytiharan darurat ini demi masa depan politik sempit mereka?

Sedarlah wahai UMNO, buanglah kepura-puraan kamu, dan marilah berganding bahu bersama Pakatan Rakyat untuk menyembuhkan segala duka lara dan luka negara. UMNO dan lebih-lebih lagi Pemuda UMNO harus sedar bahawa, meminjam kata-kata Edward Murrow, membangkang tidak bererti mengkhianat, dan tiada sesiapa yang boleh memonopoli kebenaran ataupun rasa cinta kepada negara.

Inilah patriotisme sejati.

———-

1. Dan jika seseorang warga negara Malaysia boleh menjadi anggota polis ataupun tentera pada umur 18 tahun tapi masih belum boleh mengundi, ia hanya merendahkan lagi martabat dan hak-hak mereka yang berkhidmat sebagai perajurit negara.

2. Lihat http://www.thesundaily.my/news/letters/veterans%E2%80%99-families-seek-compensation dan http://www.thesundaily.my/news/letters/pensions-paid-after-war

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: