Sembang Santai: Kebebasan Media Di Malaysia

Pada hari Jumaat lepas saya telah di jemput oleh Youth Prep Centre Alamesra untuk berkongsi pengalaman dan menerangkan sedikit sebanyak berkenaan kebebasan media di Malaysia.

Oleh kerana masa yang agak singkat untuk buat persediaan, aku menerangkan secara ringkas berkenaan Etika Kewartawanan Malaysia (EKM) yang terkandung dalam buku Kod Etika Kewartawanan Malaysia oleh Chamil Wariya dari Malaysian Press Institute (MPI).

Sekitar 20 pelajar universiti dan sekolah menengah yang hadir ketika itu saya terangkan berkenaan pegangan utama EKM, iaitu “Wartawan melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat benar” – ini adalah paksi utama setiap pengamal media di Malaysia.

Selain itu, aspek yang tidak kurang penting adalah “Wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagirisme, fitnah dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa betuk sekalipun.

Selain itu, dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk adalah kritikal bagi wartawan menghindarkan siaran berita dan rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia.

Merujuk kepada buku ‘Gelombang Kebangkitan Asia’ (buku lama yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sekitar tahun 2007), aku juga berkongsi sedikit kepada belia-belia muda yang hadir pada malam itu berkenaan media massa di Asia secara ringkas, di mana media massa mempunyai peranan yang amat penting untuk menggariskan agenda menjayakan demokrasi dan membentuk MASYARAKAT MADANI. Peranan ini semakin penting dengan munculnya zaman maklumat (maklumat di hujung jari).

Media massa di Asia sebenarnya merupakan pewaris tradisi kewartawanan yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam perjuangan Asia dalam mencapai kemerdekaan dan kemajuan. Penerbitan majalah, puisi, drama, risalah, novel dan cerpen membangkitkan masyarakat dari tidur dan menggoncang kedudukan penjajah. Rakan wartawan di barat berhadapan dengan penguasa ketika itu di mana mereka berhadapan dengan sistem raja mutlak.

Asia ketika itu berhadapan dengan kuasa feudalisme (raja mempunyai kuasa mutlak dan berada di kedudukan yang tertinggi) yang bergabung dengan kolonialisme. Kolonialisme adalah sebuah istilah terhadap sistem yang merujuk kepada pengembangan kekuasaan sebuah negara ke atas wilayah dan manusia serta masyarakat di luar batas negaranya, selalunya pihak atau kuasa yang mengamalkan konsep Kolonialisme dalam mengembangkan empayarnya akan mencari dominasi ekonomi dari sumber daya kerja, tenaga kerja, dan nilai perdagangan dan pasaran wilayah tersebut selain dari faktor muka bumi dan kekayaan sumber asli dan bahan mentah. Istilah ini juga merujuk kepada suatu himpunan keyakinan yang digunakan untuk melegitimasikan atau mempromosikan sistem ini, terutama kepercayaan bahawa moral dari pihak pengkoloni lebih hebat daripada pihak yang dikoloni.

Oleh itu, aku tegaskan tidak ada asas untuk melabel kewartawanan bentuk Asia dan Barat saling bertentangan. HAMPIR SAMA JUGA…

Kemudian, aku berkongsi konsep kebebasan media di Malaysia. Juga memetik dati buku ‘Gelombang Kebangkitan Asia’, di Malaysia, sering kedengaran adanya wartawan dan penulis yang mengeluh tentang kebebasan mereka sentiasa dikekang dan mulut mereka dikunci. Sebahagian daripada keluhan itu memang benar tetapi kadangkala, sekatan yang mereka rintihkan tidak lebih daripada sekadar hayalan sendiri.

Kita perlu mengambil iktibar bahawa hanya mereka yang BERANI sahaja mampu menghasilkan buah pemikiran bernas dan tahan uji. Meskipun media diberi kebebasan, namun ada media memilih untuk berkhidmat kepada orang kaya dan yang berkuasa.

Oleh itu perdebatan bukan tentang kebebasan dan penapisan tetapi tentang keperluan membebaskan diri daripada kebisuan ciptaan sendiri. Tatkala masyarakat berdepan dengan simpang siur pemikiran, media perlu tampil sebagai mimbar pertembungan pemikiran dan pandangan, sekaligus sebagai pemangkin kepada pembebasan pemikiran daripada keadaan perhambaan dan kejumudan (bersifat kaku).

Cabaran terhadap kebebasan media tentu sahaja bukan hanya daripada kekuasaan politik. Golongan pemilik juga boleh dan tuirut mengarahkan penjagaan serta perluasan kepentingan dan cita-cita peribadinya kepada media. Tetapi agenda dan keutamaan pemilik media belum tentu selaras dengan kepentingan awam, bahkan ia boleh sahaja saling bertentangan. Maka penting bagi para wartawan memiliki keberanian moral dan keyakinan untuk menyekat manipulasi media oleh orang yang mempunyai kepentingan tertentu, mereka yang tidak menghormati kebenaran, keadilan, kesaksamaan atau kepentingan awam.

Kebebasan media tidak boleh digunakan untuk meluahkan sentimen perkauman, manipulasi prasangka dan kebencian kaum, permusuhan agama atau untuk menyebar dusta. Aku sangat berpuas hati kerana memberikan peringatan kepada anak-anak muda yang hadir pada petang itu supaya menjadi penulis yang bertanggungjawab dan beretika walaupun hanya menulis status Facebook ataupun Twitter.

Di bahagian kesimpulan, aku menyimpulkan Malaysia (dan Asia) memerlukan media yang bebas menurut acuannya yang tersendiri, setia kepada cita-cita murni kemasyarakatan dan nilai abadi tradisi Asia. Kebebasan tanpa komitmen akan mengaburkan media daripada arah tujuannya.

Media Barat mungkin terlalu bebas (ketika ini) tetapi ianya hanyut. Media Asia tidak sepatutnya berkembang subur dengan bahan-bahan keganasan, percakaran, saling menuduh dan membangkitkan rasa permusuhan. Sebaliknya ia mesti berusaha untuk mengarahkan tenaga masyarakat ke arah penghayatan cita-cita murni yang disanjung: KEADILAN, AKHLAK dan PERASAAN KASIH SAYANG.

Terima kasih kepada Youth Prep Centre kerana menjemput saya untuk sembang santai. Moga bertemu di lain hari dengan topik yang lebih menarik…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: