Dasar-dasar kerajaan yang menjerat hak Orang Asal terhadap Tanah Adat

Orang ramai yang hadir di sesi Pendengaran Awam SUHAKAM di Kota Kinabalu

Jadual pendengaran awam untuk kes-kes tanah adat di Sabah bermula pada 4 Jun lepas di dewan Sedco Wawasan Plaza Kota Kinabalu, di mana hari pertama dimulakan dengan penerangan polisi dan undang-undang oleh penganjur, Suhakam dengan topik Budaya dan cara Hidup Orang Asal berasaskan Tanah.

Sesi seterusnya diberikan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Lembaga Taman-Taman Sabah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Pejabat Hasil Bumi Sabah dan Sabah Economic Development and Investment Authority (Sedia).

Memang tidak dinafikan lagi, pelbagai kes tanah adat (lebih popular dikenali sebagai NCR) yang belum selesai di Sabah, ditambah dengan dasar-dasar kerajaan negeri yang menidakkan hak orang asal untuk menjalankan kehidupan mereka di tanah kelahiran mereka sendiri.

Secara kebetulan, aku ditugaskan untuk membuat liputan pada hari pertama untuk sesi tengahari, di mana aku mendengar beberapa penerangan berkenaan polisi yang berkenaan dengan tanah adat dari Perhutanan Sabah, Lembaga Taman-Taman Sabah dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

TIADA PAMPASAN DARI JABATAN HUTAN SABAH
Jabatan Hutan Sabah, diwakili oleh Roslan Junaidi sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Hutan menerangkan beberapa dasar ataupun polisi berkenaan jabatan tersebut, yang membuatkan aku agak gerigitan ketika mendengar penjelasan mereka.

Jannie Lasimbang, anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam ketika itu berada di dalam dewan, kelihatan tenang bertanyakan beberapa soalan yang melibatkan tanah adat.

Pesuruhjaya Jannie Lasimbang, Ahli Panel Inkuiri Nasional mendengar keterangan

Jannie ada bertanya berapakah pampasan yang diberikan kepada orang asal sekiranya berlaku pencemaran dan kerosakan di tanah-tanah orang asal yang dicerobohi (secara sah atau tidak sah) oleh jabatan hutan, dan Roslan dengan jujur menjawab tidak ada termaktub dalam dasar jabatan untuk memberikan pampasan kepada orang asal sekiranya berlaku kerosakan tanah mahupun pencemaran.

Maknanya, orang kampung mempunyai kedudukan yang paling bahaya kerana hak mereka tidak terjamin dan mereka tidak boleh memperjuangkan hak mereka sekiranya berlakunya pencemaran dan kerosakan yang dilakukan oleh orang lain, seperti syarikat pembalak misalnya…

Tidak adanya dasar yang memberikan hak kepada orang asal dalam menuntut pembelaan sekiranya berlaku hal buruk keatas mereka menunjukkan jabatan tanah tidak mempunyai dasar perikemanusiaan kepada masyarakat yang sepatutnya mempunyai hak untuk menuntuk hak mereka.

Seperti Jannie katakan dalam pendengaran awam tersebut, jabatan hutan tidak sepatutnya ‘cuci tangan’ dalam hal sebegini kerana Suhakam telah menerima banyak laporan dari orang asal di sekitar negeri ini berkenaan tanah mereka yang mengalami pencemaran dan kerosakan akibat daripada aktiviti pembalakan oleh syarikat yang dibenarkan oleh jabatan tersebut.

Malangnya, jabatan tanah dan pihak pembalak tidak pernah memberi apa-apa pampasan kepada orang asal, malah tidak mendengar rintihan mereka kerana tidak ada undang-undang ataupun dasar yang berpihak kepada orang asal, sebagai pemilik tanah.

Manakala, bekas naib pengerusi Suhakam Malaysia, Tan Sri Simon Sipaun yang ketika itu berada di dewan juga bertanyakan kepada jabatan hutan samada pihak jabatan hutan masih membakar rumah-rumah dan meracun tumbuhan orang asal yang dituduh menduduki tanah yang digazetkan sebagai hutan simpan seperti yang berlaku sebelum ini, Roslan berkata jabatan hutan telah memberhentikan amalan tersebut, cuma orang asal tidak dibenarkan meluaskan tanaman mereka.

Roslan juga mengakui terdapat banyak kes yang terlepas pandang selepas pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 di mana banyak tanah di negeri ini telah digazetkan sebagai hutan simpan tanpa ada tinjauan di kawasan berkenaan samada terdapat penduduk atau tidak.

Katanya pindaan tersebut telah menyebabkan beberapa kampung orang asal telah dimasukkan ke dalam kawasan hutan simpan, sekaligus menyebabkan mereka berada di pihak salah sekiranya menduduki tanah tersebut.

Roslan juga menerangkan jabatan hutan telah mengambil beberapa langkah untuk mengeluarkan tanah hutan simpan dan mengembalikan kepada orang asal, tetapi jumlahnya masih kecil dan terdapat banyak tanah yang masih ‘pending’ dari segi urusan.

TAMAN-TAMAN SABAH DAN PROGRAM KORIDOR BIODIVERSITI MEGA
Manakala, pendengaran dasar dari Taman-Taman Sabah berjalan dengan lancar, kecuali ketika membincangkan program Koridor Biodiversiti Mega, di mana program ini bukan sahaja bertujuan mewujudkan lebih banyak hutan bagi hidupan liar untuk hidup bebas tetapi juga bagi merealisasikan matlamat kerajaan negeri dalam memastikan 55 peratus daripada muka bumi Sabah diliputi hutan.

Tujuan tersebut sangat molek pada penglihatan saya, tetapi apabila mendengar lebih lanjut daripada pihak Suhakam berkenaan aduan daripada orang asal yang telah menjadi mangsa di sebalik program tersebut, mungkin banyak perkara yang perlu diperbaharui atau dipinda dalam dasar ataupun undang-undang dalam Taman-Taman Sabah.

Ini adalah kerana ramai orang asal telah kehilangan tanah berikutan penggazetan tanah adat mereka kepada projek koridor tersebut.

Beratus-ratus ekar tanah mereka digazetkan sebagai koridor untuk tujuan program tersebut, menyebabkan hak mereka untuk bercucuk tanam telah terhapus kerana mereka tidak lagi boleh meneruskan aktiviti mereka di atas tanah yang telah digazetkan.

Ini adalah merujuk kepada Ordinan Tanah Sabah, sesiapa sahaja yang menceroboh kawasan koridor akan dikenakan tindakan undang-undang.
Ramai orang asal yang tidak dapat menanam padi, malah mereka juga tidak dapat menoreh getah dan memungut hasil tanaman mereka di hutan kerana mereka boleh ditangkap mengikut peruntukan undang-undang tersebut.

Pendengaran polisi ataupun dasar Taman-Taman Sabah diwakili sendiri oleh Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Paul Basintal. Dia mengesahkan mengikut ordinan tersebut, orang luar tidak dibenarkan masuk, walaupun hanya memetik buah hutan kerana mereka boleh didenda mahupun dibawa ke mahkamah untuk dakwaan.

Penjelasan tersebut telah mendapat respon daripada Jannie yang sekian lama mendengar tuntutan dan keluhan orang asal yang merasa terjerat dengan ordinan yang dibentuk oleh kerajaan, menyebabkan mereka merempat di tanah sendiri.

Jannie berkata memandangkan program koridor itu bukan sahaja sebagai laluan untuk hidupan liar, tapi ia juga sebahagian daripada penjagaan Taman Negara Kinabalu, kerana ia telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Dia menambah bagaimana Tapak Warisan Dunia seperti Taman Negara Kinabalu boleh diiktiraf sekiranya ordinannya sendiri melarang perhubungan komuniti dengan hutan? Bukankah komuniti itu sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia? soalnya… Namun Paul Basintal ternyata memahami dilema orang asal yang menjadi mangsa program itu.

Secara peribadi, dia merasakan orang asal yang sudah lama menduduki kawasan tersebut lebih berhak ke atas tanah yang mereka duduki berbanding dengan program yang berusia baru setahun jagung.

Nampun, pandangan peribadi tidak dapat membantu orang asal kerana mereka adalah mangsa keoada dasar, di mana tuntutan orang asal telah dicabuli oleh ordinan dan undang-undang yang berat sebelah.

Ketika pendengaran dasar bersama Taman-Taman Sabah, Tan Sri Hasmy Agam juga mencadangkan kepada Paul Basintal supaya membawa usul untuk mengikut apa yang dilakukan di semenanjung, di mana orang-orang asal dibenarkan mengambil sumber makanan di hutan tanpa diugut dengan tindakan undang-undang selagi mereka tidak melakukannya untuk tujuan komersial.

BANTAHAN PROJEK MINI ESTET SEJAHTERA (MESEJ)
Projek Mini Estate Sejahtera (Mesej) yang diilhamkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar merupakan satu strategi kerajaan membasmi kemiskinan tegar di Sabah.

Rajibi Aman, mewakili kementerian merupakan Ketua Bahagian Pembasmian Kemiskinan dan juga Ketua Penolong Setiausaha Kanan telah menerangkan projek Mesej adalah projek yang paling baik di Malaysia, malah katanya lebih baik dari Felda.

Dia menerangkan setiap projek penanaman kelapa sawit atau getah berkenaan menelan kos sehingga berjuta ringgit melibatkan pembinaan kediaman peserta dan penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

Ternyata, jika dilihat dari satu pihak sahaja maka projek ini adalah projek yang sangat bagus memandangkan rakyat Sabah yang miskin perlukan pembelaan dari segi penjanaan ekonomi.

Namun apabila kita berada di tempat peserta, bagaimanakah kita sebagai orang asal untuk meninggalkan kampung halaman kita dan membiarkan usaha keras kita selama ini diambil begitu saja dan dimusnahkan hanya kerana projek yang dipercayai akan membantu membasmi kemiskinan?

Setakat beberapa projek yang dilakukan selama ini, tidak ada sebarang pampasan yang diberikan kepada peserta dan tanah mereka dibangunkan begitu sahaja mengikut apa yang mereka mahu dan peserta cuma ikut sahaja.

Mesej juga meletakkan syarat supaya peserta yang terlibat untuk bekerja di ladang yang dibangunkan, jika tidak mereka akan disingkir dari projek tersebut. Maka, kesudahannya mereka akan merempat tanpa tanah dan rumah.

Terdapat beberapa orang asal yang telah membuat bantahan kepada projek Mesej ini kerana mereka telahpun ada perancangan sendiri untuk memajukan tanah dengan menanam tanaman komersial seperti kelapa sawit, getah, kelapa dan lain-lain.

Selain daripada itu, sebahagian daripada tanah-tanah tersebut telahpun bertanaman seperti tanaman kelapa, getah, kelapa sawit, pisang dan lain-lain yang bernilai komersial dan dapat menjamin kehidupan mereka. Maknanya, mereka tidak mahu usaha mereka sebelum ini dimusnahkan demi untuk satu lagi projek yang memerlukan masa yang lama untuk mengeluarkan hasil.

Ramai juga orang asal yang mengaku anak-anak mereka sudah ramai yang berpengetahuan dalam pengurusan tanah dan pembangunan, dan mereka mahu menguruskan tanah mereka sendiri. Menurut aduan dan luahan orang asal, pelaksanaan projek Mesej menambahkan kemiskinan mereka kerana tanah mereka dirampas sewenang-wenangnya dan mereka terpaksa menjadi hamba di tanah sendiri.

Menarik juga kes tanah adat di Sabah ni, dan apa yang aku lihat kebanyakan orang asal adalah mangsa kepada dasar-dasar kerajaan yang berpihak kepada satu entiti sahaja, manakala orang asal tidak mempunyai keistimewaan dalam pemilikan tanah.

Seringkali orang asal dihina dengan kata-kata sindiran bahawa mereka tidak pandai menjaga tanah kerana menjual tanah mereka kepada orang luar, tapi apabila kita mendengar sendiri penjelasan mereka berkenaan kedudukan dan status tanah adat di tempat mereka, barulah kita faham kenapa keadaan sebegini menjadi rumit.

Kebanyakannya disebabkan oleh pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang berat sebelah dan tiada perbincangan yang telus sebelum membuat atau melaksanakan projek yang melibatkan tanah adat.

Kesimpulan yang aku lihat, dasar-dasar kerajaan menjerat hak asasi orang asal di Sabah.

JADUAL PENDENGARAN AWAM UNTUK KES-KES TANAH ADAT DI SABAH:
Sekiranya anda berminat untuk mendengar kes-kes tanah adat di Sabah, silalah datang ke Dewan Sedco Wawasan Plaza pada 4-16 Jun dari jam 9am sehingga 5pm.

Sesi Pendengaran Awam di Sabah ini melibatkan seramai 77 orang saksi yang terdiri daripada saksi-saksi awam, swasta, pakar dan juga dari agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan.

Sesi Pendengaran Awam ini dijalankan adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat atau bukti-bukti lanjut sama ada secara lisan atau berbentuk dokumen berhubung isu hak tanah adat pribumi.

Ahli panel akan mendengar kes-kes yang melibatkan kategori Penerangan Polisi dan Undang-undang, Pentadbiran, Tadahan Air, Taman-Taman Negara, Perladangan dan Hutan Simpan.

Panel Pendengaran Awam ini dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Hasmy Agam, Pengerusi SUHAKAM dan ahli panel adalah terdiri daripada Pn. Jannie Lasimbang dan En. Muhammad Sha’ani Abdullah, Pesuruhjaya SUHAKAM. Barisan panel bagi sesi Pendengaran Awam ini yang dibantu oleh YBhg Tan Sri Simon Sipaun selaku konsultan bebas di dalam Inkuiri Nasional yang dijalankan oleh SUHAKAM.

Orang awam adalah dijemput hadir untuk mendengar dan melihat sesi Pendengaran Awam ini.

4 Responses to Dasar-dasar kerajaan yang menjerat hak Orang Asal terhadap Tanah Adat

  1. Daniel Doughty says:

    Well written Mariah… Glad to read this… Do keep on updating. Cheers .

  2. Laleevz says:

    Ksian org asal yg sudah bercucuk tanam bertahun tahun…tiba2 kena suruh pindah, mesti dorang sedih tngok hasil usaha mereka sia sia begitu saja..xda pampasan lagi tu…huh..somebody plz help them..God bless u all..

  3. Ikram S. says:

    Nice. Teruskan update Mariah. For a better Sabah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: