Hari ini, 31 Ogos 2012, aku bersyukur kerana sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri dan kebangsaan telah disambut dengan meriah di seluruh negara. Sebagai seorang Sabahan, aku tertarik dengan sambutan yang penuh warna-warni di setiap pelusuk kota, termasuk Bandaraya Kota Kinabalu walaupun terdapat sedikit kekeliruan dalam angka ’55 Tahun Malaysia Merdeka’.
(GAMBAR-GAMBAR DI ATAS DIAMBIL KETIKA SAMBUTAN HARI MERDEKA 2012 PERINGKAT NEGERI SABAH PADA 31 OGOS 2012 DI DATARAN BANDARAYA KOTA KINABALU)
Imbas kembali, 31 Ogos 1957 Tanah Melayu telah mendapat kemerdekaan dari British. Jadi, kalau kita kira pakai ilmu hisab, sambutan Hari Kemerdekaan ini adalah yang ke-55 tahun untuk Tanah Melayu (Malaya SAHAJA), tetapi bukan Negara Malaysia.
Sejak malam tadi, hashtag #merdeka55 trending di twitter, tapi malangnya kebanyakan post yang aku baca merujuk kepada ‘Hari Merdeka Malaysia’, sedangkan Malaysia baru berumur 49 tahun, kerana penubuhan negara ini adalah pada 16 September 1963. Maka, janganlah ucap ‘Selamat Hari Merdeka Malaysia ke-55’, tapi ‘Selamat Hari Merdeka Tanah Melayu yang ke-55′.
Akupun tidak lepaskan peluang untuk tweet. Setiap tweet ‘Selamat Hari Merdeka Malaysia ke-55 Tahun’ yang keluar di timeline aku, aku akan reply atau RT mengingatkan hanya Tanah Melayu yang merdeka pada 1957, manakala Sabah merdeka pada 1963 (tarikh dan bulan yang sama), sehinggakan ada yang reply aku tidak puas hati dan cakap aku tidak pergi sekolah la, fat and ugly la (ntah, apa kaitan LOL) dan ada juga yang secara baik bertanya apa argument aku mengatakan umur Malaysia baru 49 tahun.
Terima kasih kepada yang susah-susah RT untuk sebarkan fakta sebenar, terima kasih juga kepada yang bertanya secara baik, dan terima kasih juga kepada yang cakap kasar. Tiada guna panjang-panjangkan hal gaduh, buang masa. Banyak lagi perkara penting yang perlu diutamakan.
Tidak salah kalau kita memilih 31 Ogos untuk meraikan Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan, tapi biarlah faktanya jelas dan jangan mengelirukan rakyat, terutama anak-anak di sekolah dengan berulang-ulang menyebut ‘Selamat Hari Merdeka Malaysia ke-55 Tahun’ kerana hanya Malaya yang merdeka pada tahun 1957, sedangkan Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 manakala Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963.
Kenapa perlu ketepikan kedua-dua negeri ini sedangkan kami juga sebahagian dari negara Malaysia? Kenapa perlu menggunakan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu sebagai tarikh kemerdekaan Malaysia sedangkan negara yang bernama Malaysia belum wujud ketika itu?
Ah… ini cuma hal kecil, apalah yang ada pada angka 49 dan 55 tahun kan? Tapi, pernahkah anda berfikir sedikit angka yang salah itu menggambarkan pemahaman kita terhadap sejarah tanahair sendiri? Apa gunanya hashtag #merdeka55 itu trending sampai mencecah jutaan post sekiranya matematik mudah ini diambil enteng? Adakah sejarah kemerdekaan Sabah dan Sarawak tidak penting dalam Malaysia sehinggakan tidak dijadikan ‘highlight’ dalam Perutusan Merdeka oleh Perdana Menteri?
Datuk Seri Najib Razak, berkali-kali menyebut Selamat Hari Merdeka Malaysia ke-55 tahun. Menyampah aku tengok, tau! Lebih menyampah apabila Anwar Ibrahim sendiri (kalaulah dia ditakdirkan menjadi Perdana Menteri kelak), juga menggunakan angka yang sama untuk merujuk Hari Merdeka Malaysia.
Sejak bila sejarah negara ini ditulis semula sehinggakan Sabah dan Sarawak seperti tiada kepentingan dalam negara ini? Aku hairan! British telah memberikan kemerdekaan kepada Sabah pada 1963. Selama dua minggu- dari 31 Ogos sehingga 15 September, Sabah (atau lebih dikenali sebagai North Borneo ketika itu) merupakan sebuah negara yang ‘completely’ merdeka sebelum bergabung dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk persekutuan MALAYSIA.
Sabah sehingga kini, adalah negeri yang mempunyai angka tertinggi isirumah di bawah tahap kemiskinan. Negeri ini juga mempunyai perkhidmatan kesihatan paling buruk dalam negara. Terdapat hospital kerajaan di ibukota yang diisytihar tidak selamat dan terpaksa diruntuhkan untuk dibina semula. Malah, ada pesakit yang cedera terkena runtuhan konkrit! Kalau cerita pasal infrastruktur, sampai pagi besok pun tidak habis. Maintainance berkualiti rendah, malah ada jalanraya yang tidak dapat dilintasi kereta terutama di kawasan luar bandar, sehinggalah ada orang sakit yang terpaksa berjalan kaki berpuluh-puluh kilometer jauhnya semata-mata untuk mendapatkan rawatan perubatan di kawasan pekan.
Manakala mereka yang mengalami sakit kronik, ada cerita di kampung-kampung yang terpaksa menunggu masa untuk mati sahaja kerana tidak mempunyai wang (tambang sewa kereta) untuk mendapatkan rawatan atau menjalankan ‘review’ di kota.
Penderitaan di Sabah bukan sekadar kepayahan meredah jalanraya yang teruk, tapi juga kesengsaraan anak-anak kecil meredah hutan dan teriknya mentari selama berjam-jam untuk mendapatkan ilmu di sekolah yang terletak jauh dari kampung mereka.
Manakala, bekalan elektrik yang sentiasa terputus pula sudah menjadi masalah biasa, di mana langkah penyelesaian kepada masalah ini tidak pernah serius. Pengumuman demi pengumuman, projek demi projek dijadikan bahan bualan untuk memberikan harapan kepada rakyat, malangnya tema ‘Janji Ditepati’ bertukar ‘Janji Tinggal Janji’.
Sebagai pengeluar petroleum terbesar, pengeluar kelapa sawit terbesar dan salah satu negeri yang menyumbang kepada komoditi getah yang terbesar di Malaysia, negeri ini terpaksa mengharapkan ‘ehsan’ daripada pemerintah pusat sedangkan hasil negeri ini KAYA-RAYA. Royalti minyak pula hanya 5 peratus, manakala selebihnya dijadikan dana untuk membangunkan negeri-negeri di Malaya.
Salah satu perkara yang aku paling bangga sebagai seorang Sabahan adalah sifat kita yang bersatupadu tanpa mengira agama dan bangsa. Tidak perlu ambil contoh jauh-jauh, dalam keluarga aku sendiri kami boleh berkumpul dalam satu rumah, tidur sebantal dan makan bersama walaupun ada yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Bahai dan Pagan. Bangsa kami juga sudah bercampur-campur kerana memang itulah identiti Sabah.
Orang asal Sabah adalah bumiputra, dan sepatutnya diberikan HAK yang sama seperti orang Melayu di Malaya sana. Namun, sudah semestinya adat resam kita berbeza kerana menjulang keris bukan asalnya dari sini. Cuma, kami mahukan hak samarata sebagai warganegara tulen (bukan import dari tanah seberang).
Sudah hampir 50 tahun negara kita ditubuhkan, bulan September ini kita meraikan sambutan Hari Malaysia ke-49, tapi kita masih belum mengecapi pembangunan yang samarata, dengan alasan negeri Sabah sukar untuk dibangunkan kerana banyak kawasan kampung yang berjauhan antara satu sama lain, perlukan dana yang besar untuk dimajukan (ini perlu belajar lebih subjek geografi di sekolah). Namun, Kuala Lumpur dulupun hanyalah kawasan lombong, tapi kini sudah jadi metropolitan! Begitu juga dengan negeri-negeri lain dari Perlis sampai ke Johor, jalanraya bukan main canggih, mahu sebut pun tidak mahu jalanraya tapi LEBUHRAYA! Bezanya kerana pemerintah beri peruntukan untuk dibangunkan. Tapi kenapa tidak di Sabah dan Sarawak?
Kita mempunyai Wawasan 2020 (Terima Kasih Tun Mahathir kerana membawa visi ini), tapi dengan hanya beberapa tahun lagi baki untuk menuju negara maju, aku merasa was-was dengan wawasan ini. Mana mungkin Malaysia boleh mencapai status negara maju dengan keadaan kemiskinan di Sabah yang masih tinggi? Wawasan 2020 sekadar ungkapan ‘Indah Khabar Dari Rupa’.
Siapapun pemimpin yang akan menerajui negara ini (aku rasa BN sudah gagal setakat ini) kelak, pembangunan perlulah fokus kepada nilai yang menyeluruh. Tidak kiralah apa bangsa ataupun agama, kita mahu anak-anak kita berpelajaran tinggi dan berjaya menerajui negara ini dengan keseimbangan. Kita semua mahukan keamanan, kesejahteraan, kesihatan yang baik, jalanraya berkualiti tinggi dan keselamatan. Tidak perlu berlumba-lumba bangsa siapa yang maju.
Aku seringkali ditanya kenapa suka sangat ‘main’ isu kenegerian.
Aku lahir di negeri ini. Aku faham kepayahan dan kesusahan yang dialami oleh ramai Sabahan yang tidak mendapat ‘KEMERDEKAAN’ yang sebenar. Mreka terpaksa ‘tunduk’ kepada pemerintah, terpaksa ‘akur’ kepada mainan politik. Ada di antara mereka bantuan ditarik balik kerana ‘disyaki’ menghadiri program kebajikan parti pembangkang (WHAT?!). Beginikah maruah kita sebagai WARGA MERDEKA?
Jawapan aku – Aku bangga menjadi Sabahan dan aku mencintai negara aku Malaysia. Namun, ‘sayang’ itu ada batasnya. Tidak bermakna ‘sayang’ itu termasuk kepada golongan pemerintah yang telah melukakan hatiku. Bukan apa, tanah tumpah darah aku ini tidak dilayan dengan seadil-adilnya. Diskriminasi telah meremukkan hati kami, namun itu bukanlah halangan untuk membenci negara ini. Tidak. Aku lebih bersemangat untuk melihat masa depan negara yang lebih cerah.
Anak-anak Sabah, teruslah berusaha untuk mendapatkan hak kita. Teruslah berdoa agar negara ini menjadi negara yang lebih baik. Kita tidak mahu dipandang rendah selama-lamanya. Kita perlu MERDEKA!
Selamat Hari Kemerdekaan Sabah ke-49 Tahun.
Selamat Hari Kemerdekaan Malaya ke-55 Tahun.